Sunday, November 23, 2014

BAPAK BAGINDO MUCHTAR @ BBM: Kuliah III 1973 : September 14 Johor Bahru (FULL)


🌼   Kuliah 3  ðŸŒ¼
Johor Bahru
14 September 1973

Ya, telah berjumpa pula kita kali yang kedua pada malam ini di sini. Tadi malam telah kami kupas, telah kami sampaikan, telah kami terangkan, apa yang sebenarnya ilmu pengetahuan kita ini; dari mana asalnya, dari mana titik tolaknya kita, dan serbagunanya, kebolehannya dan lain sebagainya pedoman-pedoman untuk cara memakainya, membawakannya.


Bahkan telah kami terangkan pula asal-usul, sebab-musabab makanya ilmu pengetahuan ini kami perdapat, kami perolehi, atau sampai kepada badan diri kami.


Dan pada malam ini, rupanya dikehendaki juga supaya suara saya ditinggalkan di sini, sebagai sambungan dari apa yang telah diterangkan tadi malam.


Ya… apalah yang akan saya sampaikan lagi? Dan apalah yang akan saya terangkan lagi? Cuma saya ingin menegaskan kembali, ‘Perbaikilah badan dirimu sendiri masing-masing dengan apa yang telah ada padamu.’


Cuba fahamkan itu betul-betul, ‘perbaikilah keadaan badan dirimu sendiri masing-masing dengan apa yang telah ada padamu’ atau dengan apa yang telah diterima dari kami. Yang tadinya pada sebelumnya ada pada engkau, walaupun sebenarnya telah ada akan tetapi masih terahsia letaknya. Dan melalui badan diri kami, melalui wakil-wakil kami, yang terahsia tadi kami pecahkan rahsianya! Sehingganya engkau yang terkurung, yang terkongkong tadinya, sudah boleh bebas bergerak keluar untuk melakukan sesuatu dengan sesuatu, dengan apa yang telah ada padamu.


Tetapi, dalam perjalanan saya berulang kali ke Malaysia ini, Singapura, Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lainnya, ertinya saya sendiri belum berasa bergembira melihat kebolehan-kebolehan yang telah dilakukan atau diperdapat oleh anak-anak kami tadi. Atau oleh mereka-mereka yang telah menerima aliran tadi.


Kerana apa? Masih banyak juga kami lihat, cara membawakannya kurang sempurna. Cara memahaminya kurang lengkap. Cara-cara pengertiannya juga kurang tepat.

Yang dicari tadinya yang tidak ada. Sekarang dia telah ada.


Yang ada itu masih dicari juga lagi. Yang telah ada itu, yang telah diperdapat dari kami? Engkau yang telah bebas dari dalam badan dirimu sendiri, engkau yang telah kami pecahkan rahsia dirimu melalui hujung-hujung jari-jari kami, sampai kami dapat mengatakan bahawa, ‘Jauh jarak antara kita satu sama lain, antara engkau dengan Tuhan-mu, antara kita satu sama lain, dan lain sebagainya, itu jauh tidak ada antaranya lagi, dekat pun tidak ada batasnya?’
Seperti yang telah dikupaskan tadi malam, dinding-dinding yang menghalangi, yang zahir, yang menghalangi di antara kita satu sama lain itu telah tembus. Kita masing-masing telah menembus alam kita sendiri, iaitu badan diri sendiri, sehingga kita telah dapat keluar dari alam kita sendiri di dalam, menuju ke alam Akbar! Atau ke alam saudara-saudara sendiri masing-masing.
Dari itu maka yang kami katakan, pelajarilah apa yang telah ada itu! Cari apa itu percubaan-percubaan. Bikinlah eksperimen dan sebagainya, diri yang sebenarnya diri, diri yang berdiri dengan sendirinya bagi badanmu sendiri, yang telah boleh dapat memancar melalui saluran-saluran pintu-pintu tertentu.


Sebenarnya itu dari keseluruhan badan telah memancar itu!
Akan tetapi, kita titik-beratkan dapat merasakan kepada hujung jari-jari kita. Memancar, kami katakan, ertinya, tembus melalui saluran pintu yang tertutup tadi, sehingganya dengan pancaran tadi, kita boleh dapat menghubungi satu sama lain. Macam saya katakan tadi; ‘jauh tak ada antara, dekat tak ada batas.’


Ertinya kalau dititik-beratkan
sekarang kepada hujung jari macam tadi, kita tunjuk saja ke situ, ertinya sampai.


“Insya-Allah,” katanya.
Dan begitulah. Maka dapat saya mengatakan, ‘Perbaikilah keadaanmu! Terutama badan dirimu sendiri, dengan apa yang telah ada padamu sekarang ini. Lakukanlah segala sesuatunya, terhadap keluar dari badan dirimu sendiri, pun juga dengan apa yang telah ada padamu sekarang ini.’


Apa itu yang telah ada padamu sekarang ini? Apa itu yang telah ada padamu? Apa itu rahsia yang kami katakan telah kami pecahkan? Dan, di manakah letaknya rahsia itu setelah pecah?


Itu dapat dijawab. Rahsianya terletak pada rasa-rasa yang terasa pada hujung jari-jari kita, sehingga dapat kita mengatakan itu rasa yang mengandung rahsia.


Saya lihat, kebanyakan, atau sebahagian, bergerak tidak mengira rasa itu lagi, melainkan kelazatan membawa badan bergerak tadi sampai lupa diri sendiri, sampai tak tahu jalan pulang! Ertinya, jalan kembali kepada ke diri sendiri.


Itu saya terus tekankan rasa-rasa di hujung jari-jari itu. Itu yang akan diturutkan! Tetapi, masih dihilangkan perasaan fikiran kepada hujung rasa itu, sehingganya kesedapan betul rasanya dengan menurut gerak. Gerak, sampai segala-galanya rasa hawa dingin dan sebagainya. Sedangkan itu tidak dikehendaki, atau belum dikehendaki oleh jalannya pengetahuan kita ini. Sebab itu terlampau lekas kita sampai ke atas, sedangkan dari tangga bawah untuk menuju ke atas belum kita jalani.


Ertinya itu memang akan kita sampai di sana nanti, kita sampai di atas sana dengan gerak rasa. Nanti dengan badan diri sendiri tadi dengan tidak mengingat rasa tadi lagi. Tetapi itu bila kita telah banyak pengalaman, bila kita
telah banyak berjasa kepada pengetahuan ini.


Tetapi, dalam perjalanan untuk ke sesuatu, dalam perjalanan untuk dalam pengubatan, dalam perjalanan untuk mengubat diri sendiri, dalam perjalanan untuk menuju Tuhan di dalam erti kata yang sebenarnya, itu rasa tak boleh dilupakan. Jadi, rasa. Itu letaknya segala rahsianya. Bukan di kepala! Bukan di otak! Bukandi fikiran!


Di rasa, rasa rahsia. Ertinya, di rasa itulah terletak rahsia-Nya. Ertinya rasa yang terasa di dalam dada kita tadinya. Dengan tenang dan tekun kita tunggu sampai terasa pada hujung jari-jari kita, sampai pindah ke sini (dada). Ini yang kita turutkan lagi untuk melepaskan badan diri, katakan. Atau membebaskan diri orang, kalau orang minta tolong pada kita. Bukan dalam fikiran ini!


Ingatlah itu kembali. Saya tekankan; bukanlah dalam fikiran penyelesaiannya! Itu ilmu doktor fizika. Kita ini bergerak di bidang metafizika; di balik kenyataan.


Kira-kira kita fikirkan akan kasi apa? Kasi vitamin apa? Kita dak (tidak) duduk di bangku sekolah. Kita bergerak di bidang rahsia-Nya Yang Maha Kuasa, di bidang rahsia-Nya yang ada di diri kita sendiri. Yang keluarnya menyatakan rasa yang dapat dirasakan, dan terasa pada kita. Dan akan terasa pula pada orang yang kita hadapi, atau yang kita ubat. Dan hanya kita turutkan sampai hilang pula rasa yang terasa itu pada kita, menandakan selesai pengubatan, atau pertolongan yang kita berikan.


Dengan itu, kita tarik pelajaran kepada orang itu.
“Bagaimana rasa sekarang?”
Rasa dia orang itu lagi. Rasa kita sudah habis. Rasa dia.
“Ada lega,” katanya.
“Syukurlah.”
Jadi, itulah ditegaskan kembali; ‘pergunakanlah segala-galanya apa yang ada padamu untuk memperbaiki seluruh keadaan, di luar dan di dalam badan dirimu sendiri.’


Hakikat dalam hal ini, kalau telah mendalam juga sebahagian umpamanya, bukan? Tidak ada pada kita. Itu hakikat, ertinya, barang yang dihadir-hadirkan, yang dibuat-buat. Yang ada pada kita ini Gerak Allah semata-mata.


Isi rasa tadi, kan? Akan mendatanglah itu Gerak Allah.
“Maka bergerak,” katanya berjalan kita, melakukan sesuatu untuk sesuatu.


Dan pengertian yang sudah juga dapat kita mengatakan, ertinya, dengan niat, atau dengan kehendak dari kita sendiri, supaya kita boleh silat. Dengan sendiri dibawanya kita bersilat. Itu ertinya kita kehendaki. Kita latih badan diri kita, persiapan-persiapan supaya lincah pergerakan kita. Siapa tahu, bukan? Kalau-kalau ada bahaya.


Kalau-kalau ada apa saja yang akan mendatang; bala dan segala macam. Kalau kita telah lincah segala pergerakan kita, dengan erti kata kita sampai menjadi seorang pendekar. Insya-Allah. Segala sesuatu dapat kita elakkan.


Itu pun juga mengenai hal yang lain-lain. Yang lain-lain di dalam hakikat dan makrifat tadi. Dalam perjalanan hakikat dan makrifat, ertinya bagi kita di dalam perjalanan ilmu pengetahuan kita tidak ada hakikat; ertinya barang yang dihadirkan dan yang dibuat-buat, melainkan Kudratullah semata-mata. Gerak Allah semata-mata. Satu kudrat dan iradat. Satu gerak yang menentukan,
ketentuan dari Yang Maha Kuasa.


* * *


Mungkin nanti setelah banyak pengalaman kita, telah banyak kita dapat tahu dan mengetahui, akan banyak pula rahsianya yang lain-lain akan terbuka. Akan tetapi harus kita sedari dan insafi, bahawa yang dia yang sebenar dia itu, bukanlah kita yang macam kita ini. Ertinya, keadaannya, sifatnya ghaib.


Akan tetapi, sebagai seorang yang bertuhankan kepada Allah dan bernabikan kepada Rasul, kepada Muhammad sallallahu alaihi wa-sallam, kepada seorang, seorang, seorang yang mengerti akan nur (cahaya) tadi, segala cahaya tadi Nurrullah; nur Muhammad dan sebagainya. Nur Suci. Maka akan mungkin bermacam-macam pandangan orang lahir pada kita.
Ingat! Kalau kita melakukan satu pengubatan umpamanya, bukan? Dengan kita kemukakan yang suci, yang bersih tadi?


Sedang yang kita hadapi, kalau umpamanya seorang wanita kita ubat, dia mudah digoda syaitan iblis. Kita ini yang melakukan pengubatan dengan suci ikhlas macam tadi; begitu dia memandang kita, memandang kita tambah cantik, tambah cantik, tambah elok tambah elok, mungkin sampai kita kalau lupa kepada diri kita sendiri kita akan tergoda, akan terpengaruh olehnya.


Ingat! Hati-hati! Di situ daya-daya tadi perdayaan tadi syaitan iblis dan sebagainya. Tetapi, kalau kita tetap berpegang teguh kepada rasa tadi, walaupun bagaimana dia; dia ketawa main mata sama kita atau segala macam, dia buka paha maaf cakap, kalau kita ingat ini (rasa) saja, kita tak akan terpengaruh. Akan tetapi, kiranya kalau dia ketawa kita ketawa, apalagi kita sendiri melihat dia cantik, ini itu kan? Sudah. Selesai sudah itu, kalau jadinya. Ingat!


* * *


Dan pun… pun begitu, pun juga ertinya, dengan apa yang ada pada kita ini kita boleh hidup sebagai seorang musafir bertahun-tahun. Sebab apa? Kita telah dapat membezakan, memperbezakan, berpendirian kepada satu dengan yang lain; antara gerak bersertakan hawa nafsu, dengan gerak yang melulu oleh tenaga ghaib dari Yang Maha Esa.


Jadi, mungkin dalam praktikal, dalam segala hal nanti pada kenyataannya akan tersua itu di dirimu sendiri masing-masing nanti. Itu tersila (terpulang) pada saudara-saudara semua: mahu ke mana, dan hendak apa?


Tetapi harus kita ingat, bahawa segala tindak-tanduk laku perbuatan kita, ada mata-mata Tuhan yang mengamat-amati. Ada! Ya! Ada mata-mata Tuhan yang mengamat-amati, yang mencatat, yang menulis segala-gala tindak-laku
perbuatan kita dan amalan kita.


Jadi, tadi pernah saya katakan juga kan, bagi seorang laki-laki kita, bukan? Yang muda gagah perkasa umpamanya, di bidang pengetahuan ini sebagai seorang musafir umpamanya kita merantau, dan anak-bini tinggal di rumah. Kita pergi umpamanya dari sini ke Kuala Lumpur, ke Sabah atau ke Penang bukan? Menjalankan tugas sebulan? Dengan adanya itu, bukan?


Kita insya-Allah. Mudah-mudahan terlepas dari gangguan dan godaan.
Kecuali, kalau kita mahu. Jadi, kalau kita turutkan itu (rasa yang terasa), tak ada apa-apa! Tak (tidak) ada ingatan sedikit juga!


Rasa, yang terasa tadi. Sebab pada rasa yang terasa tadi itu, tak ada hawa nafsu di sana. Tetapi kalau kita kembalikan dalam fikiran kita, dengan kita turutkan, kita satukan rasa yang terasa tadi dengan badan diri kita sendiri, di situlah timbul hawa nafsu tadi. Sedangkan terhadap orang lain, itu yang kita kemukakan sekarang, macam saya ini, akan terlihat itu cahaya-cahaya. Itu nur memancar segala-galanya.


Siapa pula kalau wanita lain tak akan runtuh imannya melihat Nabi Yusuf, tidak? Cuba bayangkan. Siti Zulaikha (isteri Al-Aziz pembesar Mesir di zaman itu) diketawakan oleh teman-temannya.


“Masa macam itu? Itu, sudah anu?” katanya.
Dicubanya.
“Kalau ingin tahu?” katanya.


Diundangnya itu bukan? Dipanggilnya wanita-wanita yang banyak itu di kalangan isteri menteri-menteri segala macam. Disuruh pegang pisau, satu-satu sama buah epal-lah kita taruh umpama di sini. Dipanggilnya si Yusuf keluar sebagai pelayannya tadi. Semua sekali menengok, tak sedar tangan mereka luka kena pisau! Itu cahaya si Yusuf tadi!


Cuba bayangkan itu! Dan perhatikan pulalah bagi mereka-mereka, atau anak-anak yang telah bergerak di bidang pengetahuan kami ini, dengan dapat berpegang kepada rasa yang terasa yang dikatakan tadi. Itu cahaya, cahaya dia timbul itu menjernihkan kening kita.


Tinggal ini sedikit saja makrifat ini. Kalau begitu jadi begitulah dia. Kalau ya, di-iya-kan. Kalau tidak ditidakkan. Itu harus hatihati, saya cakap. Jadi, ada jalan untuk keluar. Bukan tidak ada.


Tetapi boleh bini dua tiga, kenapa tidak boleh? Agama membenarkan. Jangan salah terima ibu-ibu di dalam ya! Jangan marah sama kami. Ini sengaja diterangkan. Dikupas supaya lebih dapat mengerti. Akan lebih faham. Akan tetapi sebaliknya, bukan? Terlanjur boleh dua tiga dikatakan tadi ya, perempuan ini sama saja sebenarnya. Kalau mengatakan di sana cantik, sampai ke mana kecantikannya? Apa yang ada padanya, ada pada isteri kita di rumah, tidak? Lampu mati sama saja, kalau ke sana pula kita fikirkan. Betul, tidak?


Dan, itu pun terserah. Dikembalikan kepada… akan diri masing-masing.
Ertinya, saya tak akan mengupaskan pula kenapa agama Islam membenarkan laki-laki kahwin dua, tiga, empat. Oleh kerana apa? Wanita kebanyakkan (berlebih bilangan)! Kalau satu-satu, yang lain ke mana perginya?


Umpamanya ini. Jadi, bagi yang sanggup katanya, boleh dua, bukan? Tetapi kita tidak membicara soal itu. Soal ilmu pengetahuan kita ini, terutama yang muda-muda dengan gerak-geri ini, bukan? Yang belum mengetahui, belum dapat mengenal tadinya, sebelum saya bukakan rahsia sekejap ini, ertinya dengan gerak ini,


“Cantikkan aku! Cantikkan aku! Cantikkan aku!”
 Dengan turut, akan lebih muda bercahaya kita nampak dilihat.
“Itu siapa? Siapa itu?”
Jadi banyak orang-orang tetarik. Jadi jagalah diri kita pula, bukan? Jangan sampai mudah tertarik. Jangan sampai mudah terpedaya.


* * *


Dan, ya, bagaimanalah akan saya dapat mengatakannya…  sehingga menjadi segala sesuatunya hendaknya, menjadi rahsia pula pada badan diri kita masing-masing, sehingga menjadi rahsia pula bagi badan diri kita masing-masing hendaknya, akan rahsia diri sendiri, rahsia tindak-laku perbuatan kita, rahsia amalan kita, rahsia ilmu kita.


Akan tetapi, untuk berbuat baik itu tersuruh.
Berbuat baik itu tersuruh. Berbuat jahat dilarang! Terlarang!


Jadi kita kembali kepada pokok-pangkal tadi. Kita kembali ke pokok-pangkal tadi. Ertinya, ‘perbaikilah keadaanmu, keadaan badan dirimu dengan apa yang telah ada padamu. Perbaikilah di luar daripada badan dirimu pun juga dengan apa yang ada padamu.’


Rahsianya untuk baik-membaikkan, memperbaiki, dan segala-galanya itu letaknya pada rasa yang telah terasa pada hujung jari-jarimu sendiri masing-masing.


Dengan pecahnya itu rasa, dengan hilangnya itu rasa yang terasa akan membawa perubahan kepada perasaan seseorang yang kita hadapi. Bahkan badan diri kita sendiri juga. Jadi, harus dapatlah hendaknya difahami, bagi yang salah, yang berasa salah atau mungkin salah rasanya selama ini membawakan cara pengetahuan ini, bukan bergantung kepada rasa yang terasa, melainkan kepada gerak yang mengerakkan, ertinya tentu ada masanya, ada time-nya, ada waktunya atau sekarang mulai dirobah caranya tadi. Itu rasa tidak boleh hilang!


Dan cukup pulalah kiranya untuk ini malam. Sambungan dari tadi malam. Dititik-beratkan sekarang kepada rasa yang terasa. Dengan permulaan kata tadi, ‘perbaikilah keadaanmu dengan apa yang telah ada padamu, dan perbaikilah keadaan yang di luar dari badan dirimu sendiri pun juga, dengan apa yang telah ada padamu.’


Insya-Allah. Semoga tercipta segala yang dicita-citakan.
Terlaksana dengan mudah, segala yang dilakukan, sebagai tugas kita umpamanya tugas suci terhadap Tuhan, dan terhadap diri sendiri. Dan jadikanlah apa yang ada pada badanmu itu menjadi suatu amalanmu dengan kenyataan. Ertinya, berbuat dan sampai pula turun-temurun hendaknya sampai ke anak cucu di belakang hari. Insya-Allah.


Jadi, saya kira cukuplah sampai di sini pula penerangan saya ini. Sebab mungkin banyak pula yang lain-lain yang akan harus dilakukan. Dan kita sudahi dengan ingat-ingatlah kepadanya. Jangan dia dilupakan. Jangan dia ditinggalkan, walaupun ke mana engkau berada. Itu pun pula terhadap Tuhan; ingatlah Dia selalu, supaya Dia selalu pula akan mengingatkan kita.


Dan demikianlah adanya.
Wassalam.


Selesai 20 September, 1975
OMQ TUDM Tanan Merah Jitra, Kedah





.

No comments:

Post a Comment